SEPTEMBER 2021

Sesi Libat Urus, Pantau Prestasi Projek Lebuh Raya Pan Borneo


KUCHING: Selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) terbaharu bagi sektor pembinaan seperti peningkatan kapasiti pekerja, ia berupaya menyuntik peningkatan positif terhadap prestasi pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB).

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelaksanaan projek LPB turut terganggu akibat penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun lalu.

Mengenai aspek operasi pembinaan, kualiti penyenggaraan semasa pembinaan di jajaran Sibu ke Bintulu turut dikenal pasti untuk ditambah baik dengan segera, katanya selepas meninjau Pakej Kerja Pembinaan (WPC) 06, 07, 08, 09 di Sarikei, Sibu dan Bintulu hari ini.

Pakej Kerja Pembinaan (WPC) 06 - Jambatan Sungai Awik ke Persimpangan Bintangor, sepanjang 64 kilometer (km), WPC 07 - Persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua (76 kilometer), WPC 08 - Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip (63 km) dan WPC 09 - Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Bintulu Airport (65 km).

Sehingga 25 Ogos lalu, prestasi pelaksanaan keseluruhan WPC ini ialah 70.83 peratus, katanya yang turun padang buat kali kedua dalam tempoh satu bulan bagi memeriksa sendiri pelaksanaan projek LPB Sarawak.

Menurut Fadillah, tinjauan itu adalah sebagai langkah proaktif Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk bekerja bersama rakyat melalui tinjauan tapak dan sesi libat urus, bagi memastikan pelan mitigasi pemulihan ekonomi pelaksanaan Projek LPB Sarawak berkesan dan berimpak tinggi.

Pemantauan yang dibuat, katanya, bertujuan meneliti prestasi keseluruhan, kualiti pembinaan serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan dan pemimpin tempatan.

Antara isu yang diteliti ialah kekangan pelaksanaan dan penyenggaraan serta keberkesanan pelan mitigasi yang sedang dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek dalam tempoh penularan pandemik Covid-19, tegas beliau.

Memandangkan kerja-kerja pembinaan masih berjalan sehingga Projek LPB Sarawak siap sepenuhnya, pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi papan tanda jalan dan had kelajuan khususnya di sepanjang kawasan pembinaan.

Oleh itu sebarang aduan serta pertanyaan berhubung kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan boleh dimajukan melalui telefon, laman web serta media sosial KKR dan JKR Sarawak.

Rakyat Sarawak khususnya bakal menikmati jaringan jalan raya yang lebih selesa dan efisyen apabila keseluruhan Projek LPB itu siap sepenuhnya dijangka paling awal pada September 2022. 

Selain itu projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada sektor pembinaan dan pembangunan kawasan-kawasan yang berpotensi tinggi khususnya pusat-pusat komersial dan perindustrian serta mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Sumber dari : Jiwa Bakti